Saya menulis disini untuk sahabat-sahabat fikir-fikirkan dan renung-renunglah mengenai isu yang hebat diperkatakan tentang penceraian melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) . Disini saya cuma untuk memberi sedikit info tentang proses perceraian, mudah-mudahan dapat menghilangkan kekeliruan, jika masih gagak memahami bermakna bukan tuan-tuan yang keliru tetapi kelemahan saya dalam memberi maklumat ini dan kemungkinan atas kejahilan diri saya sendiri. Terlebih dulu kita rasa sedihnya melihatkan kelibat media dan kumpulan tertentu mempertikaikan keputusan mahkamah syariah. Apakah tujuan mereka untuk merendahkan mahkamah syariah atau meragui keputusan hakim. Media pula menemuramah orang-orang ditepi jalan yang tidak tahu tentang hukum nikah cerai. Kenapa media tidak menemubual para Kadi dan Mufti?. Saya fikir jika mahkamah membuang kes SMS diatas alasan bahawa tak boleh terima. Saya pasti mahkamah juga akan menjadi bahan untuk dipersendakan. Pihak mahkamah syariah sebelum membuat keputusan, terlebih dulu membuat pengesahan perceraian dan mengadakan siasatan bagi memastikan lafaz talak itu sah mengikut hukum syarak. Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut, maka ia adalah tertakluk di bawah perintah mahkamah untuk membenarkan perceraian, merekodkan dan memberitahu kepada pendaftar. Persoalannya bagaimana hendak menentukan sah atau tidaknya sesuatu perceraian di luar mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak. Apabila sempurna kesemua rukun talak maka sabitlah perceraian. Di dalam kitab Banatu ak-Talibin telah dinyatakan mengenai lima rukun talak iaitu, suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan (diniatkan) kepada siapa talak itu, isteri dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami. Asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui pesanan SMS memerlukan empat kondisi yang harus dipenuhi jika ingin proses cerai secara elektronik dinyatakan berlaku. Pertama, suami haruslah sebagai pengirim pesan. Kedua, suami juga berkeinginan untuk bercerai. Ketiga, penulisan pesan tidak boleh salah. Keempat, isteri harus dapat menerima dan membaca pesan tersebut. Jika keempat syarat tersebut terpenuhi, maka perceraian dapat dinyatakan sah. Ini bertepatan dengan kaedah Fekah, iaitu tulisan itu adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan di dalam perceraian. Menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian dalam menjatuhkan talak. Jika wujud ketidakpastian dalam salah satu daripada kelima-lima syarat talak maka perceraian tersebut tidak jatuh. Kebiasaannya mahkamah akan meminta suami melakukan sumpah syarie terhadap pesanan SMS yang dimaksudkan. Jika telah sabit kepastian melalui lafaz sumpahnya maka jatuhlah talak tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab Isteri dan suami untuk berlaku jujur di dalam perkara ini demi menghilangkan perkara subahat yang melingkari ikatan pernikahan. Dalam huraian hadis dibawah : 1) Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud " Tiga perkara bersungguhnya adalah sungguh, dan berguraunya juga adalah sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk ". 2) Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud " Tiga perkara bersungguhnya adalah sungguh, dan berguraunya juga adalah sungguh iaitu talak, membebaskan hamba dan nikah". |
Home »Unlabelled » Perceraian Melalui SMS
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar